AGENDANASIONAL

Henti cetus sentimen perkauman – Anwar

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Rakyat negara ini perlu mempertahankan keamanan dan keharmonian negara dengan menjauhi sentimen perkauman.

Gesaan itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha menjaga keharmonian kaum di negara ini.

“Adalah tidak wajar untuk kita mencetuskan sentimen perkauman, tanggungjawab kita adalah mengawal keharmonian dan keamanan,” katanya pada sidang media selepas Siri Jelajah Presiden ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan PH sentiasa mempertahankan kedaulatan serta perkara asas dalam perlembagaan malah sentiasa memperbaiki setiap kelemahan dalam mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.

“PH juga sentiasa mempertahankan soal prinsip asas perlembagaan. Baik Keadilan (PKR), DAP, Amanah (Parti Amanah Negara) dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

Ditanya mengenai situasi yang melanda syarikat penerbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Anwar melahirkan kekesalan sekiranya cetakan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo dihentikan.

Menurut Anwar, ramai tokoh ternama lahir daripada syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua itu yang ditubuhkan pada 1939.

“Kalau kita tengok, ramai tokoh seperti Pendeta Za’ba, Usman Awang, Rahim Kajai dan Said Zahari semua berpengkalan di Utusan. Saya amat sedih kalau Utusan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata Utusan bukanlah tanggungjawab kerajaan memandangkan akhbar itu sebuah syarikat swasta yang berhadapan dengan masalah pengurusan.

“Saya tidak tahu apa penyelesaian. Isunya adalah pekerja tidak dibayar gaji serta elaun. Kita jangan fikir tentang penutupan sahaja tanpa memikirkan kehidupan pekerja tanpa gaji,” katanya.

Beliau pada masa sama menyelar dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PH menjadi punca kemelut kewangan Utusan.

“Saya tidak setuju dengan kenyataan beliau. Adalah dikesali apabila Najib menggunakan ini untuk politik. Ia sebenarnya satu isu pengurusan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :