AGENDANASIONAL

Henti perbuatan ‘victim shaming’ terhadap mangsa jenayah seksual

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Perbuatan menyalahkan mangsa atau ‘victim shaming’ dalam kes jenayah seksual perlu dihentikan agar lebih ramai mangsa tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa dan tindakan dapat diambil ke atas pihak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, jika perbuatan itu berterusan, akan mendorong mangsa mencari jalan penyelesaian yang salah terhadap situasi yang dihadapi mereka.

“Kita kena hentikan ‘victim shaming’ ini sebab kita nak galakkan mangsa membuat aduan…stigma masyarakat ini menyebabkan mangsa ketakutan nak buat aduan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program ‘A la Carte Pagi’ terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata, perbuatan ‘victim shaming’ juga akan mendorong mangsa jenayah seksual seperti rogol dan mereka yang berdepan situasi kehamilan luar nikah membuang bayi kerana bimbang akan menerima kecaman keluarga dan masyarakat.

Katanya, ini akan mengganggu program intervensi kerajaan untuk mengurangkan statistik jenayah buang bayi di negara ini yang dilihat agak membimbangkan.

“Berdasarkan statistik 2010 hingga kini, kira-kira 1,000 kes pembuangan bayi dilaporkan dengan 60 peratus daripada bayi yang dibuang ditemukan mati,” kata Yeoh.

Perkembangan itu, katanya, boleh memberi imej buruk kepada negara dengan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan tidak prihatin dengan masalah berkenaan. – BERNAMA


Pengarang :