Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Hidup nelayan bagai selebriti berkat nama Merdeka

KEPALA BATAS, 21 OGOS: Sejak kecil, Mohd Merdeka Ismail yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 sering diejek dan dijadikan topik gurauan oleh kawan-kawan
kerana namanya yang dianggap pelik sehingga beliau berasa malu dengan nama itu.

Tetapi kini, Mohd Merdeka merasakan nama yang diberikan oleh bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor, membawa tuah
apabila sering mendapat peluang yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, sekali gus membuatkannya berasa bangga kerana memiliki nama yang serupa
dengan hari kemerdekaan negara.

Mohd Merdeka Ismail menunjukkan kad pengenalan yang tertera namanya semasa ditemui di rumahnya di Penaga , Kepala Batas pada 20 Ogos 2019. Foto BERNAMA

“Dulu, masa kecil saya rasa malu dengan nama ini tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang dan kini saya berasa bangga dengan nama ini kerana dapat
menyambut hari lahir sama dengan sambutan kemerdekaan negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Tambahnya, disebabkan namanya, beliau telah berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13,
Sultan Mizan Zainal Abidin, pada tahun 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.

Mengimbas kembali kenangan manis bergelar anak merdeka ditambah lagi mengabadikan perkataan merdeka pada namanya, Mohd Merdeka berkata, beliau kerap
mendapat habuan istimewa disebabkan keunikan namanya.

Beliau berkata, ramai yang tidak tahu nama itu telah menjadikannya seperti seorang yang terkenal umpama selebriti kerana pernah beberapa kali
dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan.

“Selain nama, tarikh lahir saya juga senang diingati dan mendapat cuti umum setiap tahun. Saya akan mengadakan majlis kesyukuran setiap tahun bersama
ahli keluarga pada hari itu,” kata nelayan di Penaga itu.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu juga berkata, nama ini membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang
dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.

“Saya akan cuba tiap-tiap tahun menghiaskan rumah dengan Jalur Gemilang untuk berkongsi semangat patriotik serta cintakan tanah air di samping
menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :