AGENSISELANGOR

Hina ATM, BERSATU Selangor mahu Yew Yin dikenakan tindakan tegas

SHAH ALAM, 19 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor menggesa ahli perniagaan, Koon Yew Yin dikenakan tindakan undang-undang susulan kenyataan menyifatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya makan dan tidur sahaja.

Pengerusinya, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Yew Yin sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Kenyataan tidak wajar dan munasabah itu dikeluarkan mengguris perasaan anggota tentera yang bergadai nyawa mempertahankan negara.

“Apakah beliau tidak tahu betapa susah menjadi anggota keselamatan sama ada polis atau tentera dalam menjalankan tugas?

“Beliau tidak wajar mengeluarkan kenyataan itu dan perlu dikenakan tindakan tegas,” katanya kepada SelangorKini.

Abdul Rashid yang juga bekas pegawai polis berkata, pasukan itu bersengkang mata dan mencagarkan nyawa demi memastikan rakyat Malaysia dapat terus hidup dalam suasana negara yang aman, selamat juga sejahtera.

“Walaupun permohonan maaf sudah dibuat, namun ia bukan bersifat menyeluruh dan ramai lagi mereka yang berstatus penjawat awam terguris dengan pandangan ahli perniagaan itu,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Yew Yin menarik balik kenyataan yang dibuat yang mendakwa anggota tentera hanya makan dan tidur.

Beliau mengumumkan perkara itu di laman blog kendaliannya hari ini sambil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.


Pengarang :