Foto REMY ARIFIN
RENCANAWAWANCARA

HIV bukan penamat riwayat

Saat melangkah masuk ke rumah perlindungan HIV (Virus Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) lelaki Muslim Darul Ukhwah, di Petaling Jaya, hati tersentuh melihat penghuninya yang peramah dan sentiasa tersenyum di sebalik penderitaan yang ditanggung mereka.

Kebanyakan penghuni lelaki seramai kira-kira 40 orang itu masing-masing kelihatan sihat dan lebih mengharukan apabila mereka dilihat cuba menunjukkan sikap positif.

Penghidap HIV yang mendapat perlindungan di Muslim Darul Ukhwah itu seolah-olah tidak menganggap masalah kesihatan yang sedang ditanggung sebagai penamat riwayat mereka.

Hampir dua jam menghabiskan masa di Darul Ukhwah, pelbagai cerita daripada beberapa penghuni yang menceritakan bagaimana mereka dijangkiti HIV. Setiap penghuni di rumah perlindungan berkenaaan tidak lokek berkongsi pengalaman demi mendidik generasi akan datang supaya tidak menerima nasib sama.

Antara cerita menarik penghuni berkenaan, ramai antara mereka datang daripada latar belakang yang bukan calang-calang orang. Ada antara mereka pernah bergelar juruterbang, pelajar lulusan luar negara dan tidak kurang ada dalam kalangan mereka pernah duduk di kerusi tinggi sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Bagaimanapun, apakan daya berpunca daripada duit, seks dan pengaruh rakan-rakan, akhirnya kumpulan ini terjebak ke kancah sosial yang bukan sahaja memusnahkan kerjaya, malahan lebih buruk lagi memusnahkan kehidupan mereka secara keseluruhannya.

Nafsu, pengaruh rakan

Jai, 60, seorang bekas juruterbang berasal dari Kampong Bharu, Kuala Lumpur memberitahu, dia sudah 10 tahun menanggung derita akibat penyakit HIV.

Beberapa bulan pertama mendapat keputusan berkenaan HIV, Jai terus berubah menjadi seorang yang pendiam dan cuba menyembunyikan diri. Juruterbang lulusan dari Australia itu tidak menyangka dengan kedudukan yang dicapainya sebelum ini membuatkan dia turut tidak terkecuali dijangkiti HIV.

Mengimbau lanjut, cerita Jai, dia dijangkiti HIV kerana gemar mengambil dadah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan. Mengikut rakan-rakannya, pengambilan dadah akan membuat seseorang juruterbang itu lebih yakin dan bertenaga dalam menerbangkan pesawat.

Akibat pengaruh dadah itu juga, Jai memberitahu, dia kematian isteri pertamanya selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya. Kemalangan itu berpunca daripada Jai yang memandu laju.

Jai merungkai rahsia hidupnya ketika ditemui SelangorKini pada majlis Penyerahan Sumbangan Jabatan Agama Islam dan NGO-i Hospital kepada penghuni Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhwah, baru-baru ini.

Jai yang mempunyai empat anak berkata, dia mendapat perlindungan di Muslim Darul Ukhwah selepas dibawa isteri ketiganya yang tidak mempunyai jalan lain untuk merawatnya.

Selepas kematian isteri pertama Jai melangsungkan perkahwinan kedua dan ketiga.

Kata Jai, sejak di rumah perlindungan ini, dia banyak belajar terutama berkenaan ilmu agama dan kini dia mampu menerima hakikat bahawa harus berlawan dengan penyakit yang ditanggungnya.

‘Call boy’ jadi penyebab

Berbeza pula dengan penghidap HIV yang mahu dikenali sebagai Hanafi, 42, yang berkata akibat kesempitan hidup dan cintakan kemewahan dia sanggup bekerja sebagai ‘call boy’.

Hanafi berasal dari Johor, mula aktif dengan gejala sosial itu selepas tamat belajar di sebuah universiti tempatan dalam jurusan pengurusan perhotelan.

“Niat sebagai ‘call boy’ yang mulanya mahu mencuba tetapi akhirnya seronok sehingga terjebak hampir 10 tahun mencari rezeki dengan kerja keji itu,”cerita Hanafi.

Berlainan berbanding Jai, Hanafi tidak terkejut selepas dia dimaklumkan menghidap HIV.

“Saya tidak terkejut kerana saya memang terbabit dengan pelbagai gejala sosial yang menjejaskan kesihatan,” ujarnya.

Berhubung penerimaan keluarga, Hanafi berkata, pada mulanya ahli keluarga agak sukar untuk menerima keadaannya memandangkan dia adalah anak dan pelajar cemerlang ketika di bangku sekolah tetapi lama-kelamaan mereka terpaksa menerima hakikat.

Ujar Hanafi, dia berada di rumah perlindungan ini atas inisiatif keluarganya yang memberi sokongan supaya dia meneruskan baki kehidupannya dengan lebih sempurna.

Selepas beberapa bulan berada di rumah perlindungan ini, Hanafi kini sudah mula mendekati semula ilmu keagamaan. Hanafi memberi ingatan supaya anak-anak muda di luar sana tidak menjebakkan diri dalam sebarang aktiviti tidak sihat.

Mengulas berkenaan stigma masyakat yang meminggirkan pesakit HIV, Hanafi berkata, perkara seperti itu sudah pasti berterusan, namun pesakit HIV perlu kuat dan sentiasa bangkit untuk berubah menjadi lebih baik.


Pengarang :