DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ditemani DYMM Tengku Permaisuri Norashikin dan Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali melawat bilik permainan kanak-kanak sempena Perasmian Hospital Pakar wanita dan Kanak-kanak Avisena di Shah Alam.22 Ogos 2019.REMYARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMA

Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak AVISENA perkenal konsep hospital butik

SHAH ALAM, 22 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak AVISENA, milik Kumpulan AVISENA, hari ini.

Ketibaan Baginda disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Dr Omar Abd Hamid.

Sultan Sharafuddin berkenan menurunkan tandatangan pada plak disediakan sebagai simbolik perasmian dan disusuli dengan tayangan video korporat Kumpulan AVISENA.

Dr Omar ketika menyampaikan sembah ucapan berkata, pembinaan hospital bermula tiga setengah tahun lalu dengan kos sekitar RM1.2 juta per katil itu merupakan hospital kedua dibina mereka selepas Hospital Pakar AVISENA yang beroperasi 11 tahun lalu.

“Pembukaan Hospital Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak AVISENA hari ini menjadikannya hospital pakar swasta terbesar untuk wanita dan kanak-kanak di Malaysia dengan kemudahan 133 katil serta 52 doktor pakar.

“Dari segi perkhidmatan kepakaran perubatan, AVISENA juga boleh bernagga dengan pakar-pakar yang berpengalaman dan berkebolehan dalam bidang khusus serta disokong teknologi terkini.

“Kedua-dua hospital AVISENA juga telah beroperasi sepenuhnya secara elektronik atau tanpa kertas dan membolehkan operasinya berjalan lebih baik serta produktif,” katanya.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Menandatangani Plug disaksikan Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Pengerusi Dan Ketua Eksekutif Kumpulan Avisena Dato Dr Omar Abd Hamid sempena Perasmian Hospital Pakar wanita dan Kanak-kanak Avisena di Shah Alam.22 Ogos 2019.REMYARIFIN/SELANGORKINI.

Secara keseluruhan hospital milik Kumpulan AVISENA mempunyai 251 katil, 115 doktor pakar dan memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 kakitangan.

Beliau berkata, konsep hospital butik yang memberi layanan perbadi kepada pesakit itu mempunyai empat buah dewan bedah, unit rawatan rapi (ICU) mesra kanak-kanak, unit kritikal untuk bayi (NICU) dan unit separa kritikal (HDU).

Pembukaan hospital baharu yang tersergam indah di Seksyen 14, Shah Alam ini diharapkan mampu membantu meningkatkan tahap pemberian rawatan untuk wanita dan kanak-kanak di Selangor.

Menurutnya, AVISENA juga sedang membuat persediaan untuk menambah 140 katil di Hospital Pakar AVISENA bagi menarik dan mengembangkan perkhidmatan pelancongan-perubatan (medical tourism) terutama dari Australia, Indonesia dan Timur Tengah.

“Untuk tujuan tersebut, Hotel Marriot International telah bersetuju dan menyokong pembinaan hotel bertaraf empat bintang berjenama ‘Fairfield by Narriot’ di sebelah hospital tersebut.

“Pembangunan projek ini akan siap dalam tempoh empat tahun lagi dan kami yakin projek ini akan berupaya membawa lanskap pelancongan-perubatan yang lebih menarik dan dinamik. Ia juga berupaya menjadikan Shah Alam sebagai hab perkhidmatan kesihatan bermutu di Selangor khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Selain itu, Kumpulan AVISENA turut merancang membina hospital baharu di beberapa lokasi di Lembah Klang dan negeri lain.


Pengarang :