Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan daripada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Fadzli Ramli ketika melawat pusat media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji Makkah, Abraj Janadriah di sini. Bercakap kepada Bernama, Syed Saleh berkata media memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat tentang perjalanan musim haji tahun ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat di Mina: Jemaah haji selamat

MAKKAH, 13 OGOS: Semua jemaah haji Malaysia dalam keadaan selamat berikutan hujan lebat yang turun di kawasan perkhemahan Mina Muaisim di sini pukul 4 petang semalam waktu tempatan atau 9 malam waktu Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata tiada ancaman nyawa dan kecederaan dilaporkan pada jemaah haji Malaysia mahupun petugas haji di sini.

“Adalah menjadi amalan apabila hujan lebat di kawasan perkhemahan, pihak berkuasa Bomba Arab Saudi mengarahkan bekalan elektrik ditutup untuk mengelakkan insiden kejutan elektrik. Bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya pukul 7.10 malam.

“Rata-rata kerosakan di khemah secara umumnya hanya pada karpet-karpet yang basah di dalam khemah setelah dimasuki air hujan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Syed Saleh berkata berikutan hujan lebat, jadual melontar pada waktu petang ditangguhkan kepada pukul 8.20 malam semalam dan keadaan di Mina telah kembali pulih seperti sediakala pada pukul 8.00 malam semalam.

“Pihak Muassasah Asia Tenggara telah menggantikan sebahagian karpet tersebut dan mengedarkan plastik hitam sebagai alas. Jemaah Haji Malaysia juga menggunakan tikar plastik yang dibekalkan semasa di Malaysia lagi sebagai alas.

“Para Jemaah Haji juga telah bekerjasama membersihkan kawasan khemah yang terjejas secara bergotong-royong,” katanya.

Beliau berkata pada hari ini sebahagian Jemaah haji Malaysia telah bertolak dari Mina ke Makkah setelah melakukan Nafar Awal.

-BERNAMA


Pengarang :