Persidangan Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush 2019 di Bilik Seminar, Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 8 Ogos 2019. Foto Fikri Yusof/Selangorkini.
SELANGOR

IDE: Sidang Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush berjaya capai objektif

SHAH ALAM, 8 OGOS: Persidangan Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) yang julung kali diadakan hari ini berjaya mencapai objektif seperti dirangkakan .

Ahli Lembaga Pengarah IDE, Senator Ismail Yusop berkata, persidangan itu membincangkan keperluan untuk mendedahkan cara berfikir yang menepati hasrat Fiqh Ta’Ayush As Silmi atau hidup kebersamaan.

Katanya, prinsip hidup kebersamaan adalah perkara penting perlu dibincangkan terutama ketika mendepani zaman moden kini.

“Ia adalah formula asas bagi mengukuhkan perpaduan rakyat dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini.

“Kini sudah tiba masanya untuk kita melangkah lebih progresif sebagai semangat pengukuhan sesama masyarakat sempena menyambut dan menghayati bulan Kemerdekaan ke-62 yang bakal tiba tidak lama sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas sesi Persidangan Meja Bulat Fiqh Ta’Ayush di Bilik Seminar IDE, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ismail berkata, hubungan sesama Islam adalah atas dasar persaudaraan keimanan manakala Cina dan India walau berlainan agama mereka tetap warganegara dan rakan senegara.

“Oleh itu, semua bangsa perlu mempunyai matlamat jelas serta tekad yang kuat untuk membina hidup bersama secara aman.

“Prinsip Fiqh Ta’Ayush As Silmi jika diamalkan antara golongan Islam dan bukan Islam mampu menjamin kehidupan sejahtera dalam sesebuah negara,” katanya.

Sementara itu, katanya, IDE juga bercadang menubuhkan kumpulan khusus untuk menjayakan agenda Fiqh Ta’Ayush supaya terus dibincangkan dan diperinci pada masa depan.

Terdahulu, pada persidangan itu turut diselitkan sesi pembentangan antara tajuknya adalah al-Ta’ayush : Melihat dari Sudut Sirah; Peranan Universiti dalam Mempromosi Fiqh Ta’ayush; Kebebasan Bersuara dan Tanggungjawab Mempertahan Keharmonian serta Mengurus Kepelbagaian Kaum dan Agama dalam Majlis Belia Malaysia.


Pengarang :