AGENDAEKONOMI

India cadang duti import minyak sawit bertapis Malaysia dinaik

NEW DELHI, 27 OGOS: Kementerian Perdagangan India telah menyarankan supaya duti import minyak sawit bertapis dari Malaysia dinaikkan atas alasan sebagai respon terhadap permintaan pihak penapis tempatan.

Apabila keputusan itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan, perbezaan duti import ke atas minyak sawit mentah dan bertapis Malaysia adalah sebanyak 10 peratus tanpa mengambil kira asal produk tersebut, kata sebuah badan industri terbabit yang turut menyambut baik langkah berkenaan pada Isnin.

India membeli hasil minyak sawit khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

Pada awal tahun ini, India bertindak mengurangkan duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 40 peratus daripada 44 peratus manakala bagi minyak sawit bertapis, duti itu dikurangkan kepada 50 peratus berbanding 54 peratus.

Bagaimanapun, cukai import olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dari Malaysia telah dikurangkan daripada 54 peratus kepada 45 peratus sejajar dengan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) Malaysia-India.

Ini menjadikan minyak sawit Malaysia dilihat lebih menarik bagi kalangan pengimport India dengan import RNA olein sawit meningkat daripada 130,459 tan metrik pada Disember kepada 264,718 tan pada Januari.

Presiden Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA), Atul Chaturvedi berkata kapasiti penggunaan industri penapisan minyak sawit India juga merosot ‘ke tahap amat rendah’ berikutan konsesi duti yang diberikan kepada Malaysia di bawah perjanjian perdagangan dua hala itu.

Persatuan itu kemudiannya bertindak melobi kerajaan India agar menarik balik konsesi itu yang disusuli dengan semakan ke atas isu itu oleh pihak Direktorat Perundangan Perdagangan (DGTR) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan India.

SEA berkata, keputusan DGTR untuk mengenakan semula perbezaan duti terhadap minyak sawit bertapis setakat akhir tahun lepas juga disifatkan dapat memulihkan semula industri penapisan minyak sawit berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :