AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Individu hina ATM jijik, musuh negara

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Mana-mana pihak yang didapati menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan sebagai musuh negara dan rakyat.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, tindakan menghina ATM juga adalah jijik dan tidak boleh diterima.

“Bagi saya, sesiapa saja tidak kira mana-mana kaum, jika menghina ATM, maka dia adalah musuh negara.

“Mana-mana individu boleh memberi tunjuk ajar, pandangan dan mengkritik anggota tentera, namun tidak sampai ke tahap menghina.

“Jangan ambil kesempatan membangkitkan isu perkauman,” katanya memetik laporan asal BH Online.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin didakwa melabelkan anggota tentera sebagai pemalas dan ‘kerja makan tidur’.

Kenyataan itu sekali gus turut dilihat menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Pemerintah ATM.

Mengulas itu terbabit, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kenyataan ahli perniagaan berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat oleh pelbagai pihak, kita serah kepada polis untuk siasat. Kita tunggu apa tindakan mereka,” katanya.


Pengarang :