Lambakan madu yang dicampur dengan bahan lain di pasaran tempatan antara cabaran dalam industri lebah kelulut. Foto – Bernama.com
AGENDANASIONAL

Industri lebah kelulut berdepan cabaran

KOTA KINABALU, 1 OGOS : Industri lebah kelulut di Malaysia berdepan cabaran besar, khususnya dari segi menternak ratunya, pengeluaran madu yang rendah, kualiti tidak konsisten dan harga tinggi, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya lambakan madu yang dicampur dengan bahan lain di pasaran tempatan, madu Malaysia yang tidak mematuhi piawaian dan tiada badan atau pusat sedia ada untuk memantau perkembangan ternakan lebah, turut menjadi cabaran kepada industri itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada perasmian Bengkel & Persidangan Lebah Kelulut Antarabangsa Ke-2 (ISBCW2019) di sini,hari ini. Acara empat hari itu bermula semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau.

Shafie berkata beliau gembira bahawa penganjur ISBCW2019 akan membincangkan pelbagai isu, yang bukan sahaja dapat membantu merealisasikan masa depan lebah kelulut, tetapi juga mewujudkan ekonomi Malaysia yang stabil, makmur dan berdaya saing.

Beliau berkata permintaan terhadap madu dan produk sampingan dan perkhidmatan lain selain daripada kegiatan penternakan lebah kelulut perlu diterokai dan dihubungkan kepada konsep pengurusan rantaian bekalan.

“Persidangan ini merupakan platform tepat kepada peserta untuk bertukar-tukar idea dan mengemas kini pengetahuan tentang perkembangan terkini dan trend dalam industri lebah kelulut dari segi penemuan, penternakan dan pembiakan, penuaian madu, pengurusan pasca penuaian madu, dasar, latihan, piawaian dan kualiti pengurusan,” katanya.

ISBCW2019 menghimpunkan 30 peserta yang terdiri daripada saintis, ahli akademik dan pelajar, yang akan mempamerkan hasil penyelidikan mereka serta produk inovatif berkaitan. -BERNAMA


Pengarang :