AGENDANASIONAL

Infrastruktur asas luar bandar efisien, terbaik menjelang 2025

KOTA KINABALU, 24 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memastikan kira-kira 95 peratus penduduk luar bandar khususnya di Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur asas terbaik serta efisien menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sasaran itu seiring Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang antara lain bertujuan mencapai visi mensejahterakan penduduk luar bandar dalam tempoh sepuluh tahun merangkumi aspek pembangunan modal insan, sosial dan ekonomi.

Katanya, pembangunan infrastruktur berkenaan perlu terus diperkasakan memandangkan masih terdapat kawasan luar bandar khususnya di pedalaman agak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas berkualiti.

Katanya, ia juga penting bagi menyokong usahawan desa mengembangkan lagi potensi produk mereka ke pasaran lebih luas.

“Kita (kementerian) mengakui, dalam usaha meningkatkan bidang keusahawanan penduduk luar bandar, kemudahan infrastruktur perlu ada.

“Oleh itu, dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, kita menyasarkan pada 2025, kemudahan asas ini boleh dinikmati 95 peratus penduduk di luar bandar.

“Kita akan berusaha menarik pelabur ke luar bandar bagi mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus memacu pembangunan di kawasan berkenaan. Capaian internet juga akan terus diperkasakan supaya usahawan desa boleh berniaga dalam talian.
 
“Kementerian turut mempunyai 191 Pusat Komuniti Desa di seluruh negara dan peranan serta program pusat ini akan dipertingkatkan supaya ia boleh menjadi hab kepada penduduk kampung menghantar produk mereka untuk dipasarkan ke luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di sini, hari ini.

Majlis yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Rina berkata, kerajaan Persekutuan membelanjakan RM200,571,938 bagi projek prasarana luar bandar di Sabah meliputi jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, bekalan air, elektrik dan program ameniti sosial setakat 31 Julai lalu.

Ia adalah sebahagian daripada RM1.14 bilion peruntukan disediakan untuk membangunkan kemudahaan infrastruktur berkenaan di Sabah pada tahun ini, katanya.

Berhubung KUD, Rina berkata, ia kali pertama diadakan mengikut zon bagi menarik lebih ramai usahawan desa mempromosi serta memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Beliau berkata Sabah yang juga lokasi ketiga penganjuran KUD itu menarik penyertaan 350 usahawan desa dengan 79 peratus daripadanya adalah usahawan wanita dan sebanyak RM3 juta hasil jualan disasarkan sepanjang empat hari karnival berkenaan berlangsung sehingga esok.

“Tiga KUD sudah dilaksanakan, masing-masing di Pulau Pinang, Terengganu dan pada kali ini Sabah. Penyertaan bagi ketiga-tiga KUD ini amat memberangsangkan dengan lebih 1,000 usahawan desa direkodkan menyertai karnival ini,” katanya.

Pada masa sama Rina berkata, kemuncak KUD akan berlangsung di Putrajaya pada Oktober ini dengan menyasarkan penyertaan 5,000 usahawan desa.

-BERNAMA


Pengarang :