AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Invest Selangor yakin lebih banyak pelaburan dari China

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Invest Selangor Bhd yakin minat pelaburan dari China di Malaysia semakin meningkat pada tahun ini, khususnya di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, hal itu ekoran konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“China adalah pelabur utama Selangor dengan nilai pelaburan RM3.93 bilion pada 2018, terutama dalam industri pembuatan seperti produk dan kertas logam asas, diikuti Jepun dengan RM435.6 juta dalam industri semikonduktor, automasi kilang, industri automotif dan makanan.

“China mungkin akan mengekalkan kedudukannya sebagai pelabur teratas (di Selangor) untuk tahun ini, dan memindahkan operasi mereka kerana negara itu kini mempunyai pertikaian perdagangan dengan AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian di luar sesi taklimat Siri Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA): Membuka Potensi Perniagaan Di Negeri oleh agensi Kerajaan Selangor.

Pada tahun ini, Kerajaan Selangor menyasarkan untuk mencapai jumlah keseluruhan pelaburan RM10 bilion.

“Kami berada di landasan betul untuk mencapai sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri. Ketika ini, kami hanya mendapat data dikeluarkan MIDA untuk suku pertama 2019 (dari Januari hingga Mac) dan berdasarkan kepada angka itu, ya, masih banyak lagi perlu dilakukan.

“Tetapi biasanya, kita dapat melihat kenaikan pada separuh kedua, jadi saya percaya kita dapat mencapai sasaran,” katanya sambil menambah kerajaan memberi tumpuan kepada lima kluster teknologi tinggi iaitu jentera dan peralatan, pengangkutan dan peralatan, sains hayat, makanan dan minuman, serta elektrik dan elektronik.

Pada masa sama, Hasan Azhari berkata, Invest Selangor memperuntukkan RM10 juta lagi untuk menjalankan program berkaitan pelaburan di Selangor bagi separuh kedua dari Julai hingga Disember 2019.

“Peruntukan itu mungkin lebih sedikit kerana ada program tertentu membabitkan kos tinggi.

“Walaupun sebahagian daripada RM7.11 juta untuk tempoh Januari hingga Jun lalu, kesemuanya dibelanjakan untuk pelbagai aktiviti, bukan sahaja membabitkan misi pelaburan perdagangan tetapi semua program berkaitan seperti seminar, dialog, pameran perniagaan dan penerbitan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, kerajaan terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan peringkat tinggi dan berkualiti ke semua negeri.

Katanya, ia dilaksanakan melalui pemberian insentif fiskal dan bukan fiskal bagi pelabur asing serta domestik.

“Bagi Selangor, sehingga Mac lalu, sejumlah 9,097 projek dengan pelaburan RM218.4 bilion diluluskan MIDA dalam sektor pembuatan, mewujudkan lebih 802,000 peluang pekerjaan.

“Selangor sememangnya salah satu lokasi pelaburan paling disukai untuk aktiviti pembuatan. Minat berterusan pelabur membolehkan Selangor mencatatkan tahap pelaburan semula yang luar biasa, iaitu 40.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata dari 2010 hingga Mac 2019, sebanyak 902 atau 39.6 peratus daripada projek pembuatan diluluskan dalam aktiviti perluasan atau kepelbagaian, manakala pelaburan semula oleh pengeluar sedia ada menyumbang RM37.6 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan.

“Pencapaian ini tidak menghairankan kerana Selangor menempatkan lapangan terbang, pelabuhan, lebuh raya dan kemudahan lain yang terbesar dan paling canggih di negara ini.

“Selain infrastruktur dan kelebihan kesalinghubungan, Selangor juga boleh menarik masuk tenaga kerja yang sesuai dan berkemahiran dalam pelbagai bidang, berbakat dan fasih pelbagai bahasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :