Amirudin Shari (tengah) dan Exco Kerajaan Negeri, Ng Sze Han (kiri) ketika Program Pemerkasaan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Sesi Town Hall di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 19 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

IPR: Kerajaan hanya tukar fokus, tetap tunai janji

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri hanya menukar fokus dan bukan tidak menunaikan janji, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berhubung isu penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang kini giat dilaksanakan.

Beliau berkata, pelaksanaan penjajaran itu juga dilakukan dalam tempoh singkat iaitu lebih kurang dua tahun.

“Selepas selesai penjajaran berkenaan, kita akan melihat sama ada untuk menambah jumlah penerima skim IPR atau menambah nilai ke dalam skim terbabit.

“Penjajaran dilakukan kerana kita juga mahu memfokuskan pentadbiran Kerajaan Negeri kepada aktiviti pembangunan serta perancangan ekonomi dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall bersama Dato’ Menteri Besar Selangor ketika
Program Pemerkasaan Ahli Majlis PBT Selangor 2019 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian serta EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Amirudin berkata, segala perancangan digaris membuktikan Kerajaan Negeri tidak mahu menjadi kerajaan populis semata-mata.

“Konsep ‘cash is king’ adalah salah, situasi ini sama seperti keadaan yang berlaku pada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau mampu beri duit kepada sesiapa sahaja tetapi akhirnya kalah juga ketika pilihan raya. Oleh itu saya tidak mahu kita melaksanakan tugas secara tidak jujur.

“Selain penawaran sedemikian, Kerajaan Negeri juga mahu memberi ruang kepada golongan yang sepatutnya untuk mendapat pendidikan sebaiknya juga bantuan perniagaan kepada mereka memerlukan,” katanya.


Pengarang :