AGENDANASIONAL

IPU di Miri tahap bahaya, Sri Aman sangat tidak sihat

SHAH ALAM, 14 OGOS: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak masih mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya iaitu pada bacaan 361.

Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 dan Sri Aman pula mencatatkan IPU sangat tidak sihat iaitu 271 dan 238.

Bagaimanapun, mengikut data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat jam 10 pagi tadi, enam kawasan di Selangor berada pada tahap sederhana.

Enam lokasi tersbut ialah Shah Alam (69), Klang (70), Johan Setia (90), Banting (71), Petaling Jaya (69) dan Kuala Selangor (69).

Secara keseluruhan, sebanyak 63 stesen di seluruh negara berada di tahap sederhana.

Kawasan Tawau, Sabah pula satu-satunya mencatatkan IPU baik iaitu 34.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan berbahaya jika melebihi 300.

Terdahulu, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaraskan tindakan oleh agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu negara.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, langkah itu dilaksanakan selepas kualiti udara mencapai tahap bahaya di kawasan Miri dan Kuala Baram, sejak beberapa hari lalu.

Notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada semua pemilik tanah di kawasan tanah gambut Kuala Baram, bagi mencegah dan mengawal kebakaran, di kawasan berkenaan.


Pengarang :