Jerebu di Miri berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal yang berlaku sejak semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

IPU Miri masih ditahap bahaya

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri, Sarawak terus merekodkan kualiti udara berbahaya setakat 12 tengah hari tadi.

Mengikut data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU 361 dicatatkan di stesen pengawasan udara yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, manakala sebuah lagi stesen di Miri mencatatkan tahap tidak sihat iaitu IPU 126.

Bacaan IPU yang direkodkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Miri pula menunjukkan peningkatan kualiti udara kepada 270 (tahap sangat tidak sihat) berbanding IPU 307 pada pukul 1 petang, semalam.

Kualiti udara di Sri Aman pula mencatat peningkatan ke tahap sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 245 berbanding bacaan IPU antara 101-200 pada tahap tidak sihat yang dicatatkan semalam.

Data keseluruhan menunjukkan keadaan semasa jerebu di seluruh Malaysia merekodkan 63 kawasan berada pada tahap sederhana, satu kawasan berada pada tahap tidak sihat, dua kawasan di tahap sangat tidak sihat dan satu kawasan di tahap berbahaya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

– BERNAMA


Pengarang :