AGENDAGLOBAL

Iraq nafi kaitan dengan kapal tangki minyak dirampas Iran

BAGHDAD, 5 OGOS : Iraq pada Ahad berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan kapal tangki minyak yang dirampas Iran di Teluk Parsi atas dakwaan menyeludup minyak, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Minyak Iran.

Kenyataan itu menyebut kapal yang dirampas di Teluk Parsi adalah sebuah kapal kecil yang tidak pernah digunakan kementerian tersebut dalam proses pemasaran minyak.

Pihak berkuasa sedang cuba mengumpul maklumat berkaitan kapal yang telah dirampas Iran, menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pada hari sama, Iran berkata kapal tangki yang dirampas Kor Pengawal Revolusinya (IRGC) pada Rabu adalah milik Iraq, menurut agensi berita IRNA.

Menurut kenyataan IRGC, kapal itu cuba menyeludup sejumlah 700,000 liter minyak ke negara Teluk dan tujuh rakyat asing yang berada di atasnya telah ditahan.

Bulan lepas, Iran merampas sebuah kapal tangki Britain di Selat Hormuz sebagai membalas tindakan merampas sebuah kapal Iran berhampiran Gibraltar — sebuah wilayah luar negeri Britain yang terletak di selatan Sepanyol.

Ketegangan telah memuncak di rantau tersebut sejak itu. -BERNAMA


Pengarang :