Amiruddin Shari bersama ahli penal pada sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Isu keselamatan diangkat inisiatif baharu dalam Belanjawan 2020

SHAH ALAM, 27 OGOS: Isu keselamatan akan diangkat menjadi inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020 pada November nanti.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di dalam kerangka gagasan Smart Selangor 2025.

“Konsep negeri pintar ini adalah yang terkini dan diguna pakai banyak tempat seluruh dunia yang menjadi latar belakang pelaksanaan program baharu Selangor iaitu, ‘Bandar Selamat, Negeri Maju, Komuniti Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin Shari pada sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata, antara yang mendapat perhatian beliau dalam dialog itu termasuk cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menambah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, selain cadangan menambah anggota PDRM, Kerajaan Negeri juga meneliti langkah meluaskan skop Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Polis Bantuan.

Beliau turut mengambil perhatian terhadap cadangan menambah kamera litar tertutup berdefinasi tinggi beserta jaringan kerja dengan agensi penguatkuasaan termasuk PDRM.

Sebelum itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, perancangan dan pengurusan bandar selamat adalah tindakan pembangunan menyeluruh yang bukan tanggungjawab kerajaan sahaja.

“Semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, PBT, agensi penguatkuasa, badan korporat dan komuniti penduduk adalah pemain penting dalam mewujudkan bandar selamat,” katanya.


Pengarang :