Amiruddin Shari pasa sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Isu Konsert: ‘Saya hanya boleh senyum dan ketawa’ – MB

SHAH ALAM, 27 OGOS: Tindakan MCA mempolitikkan keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menolak permohonan asal konsert penyanyi popular Taiwan, Bobby Chen untuk mengadakan konsert di Stadium Melawati di sini, ditempelak Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Permohonan asal konsert itu pada 31 Ogos ini bermula jam 7.30 malam tetapi diawalkan pada jam 12 tengah hari tarikh sama seperti arahan MBSA bagi memberi laluan sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Amirudin berkata, MCA sepatutnya mempertimbangkan semua aspek sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya hanya boleh senyum dan ketawa dengan cadangan itu. Tolong pertimbangkan, kita ada peraturan dan undang-undang.

“Setiap tahun sejak zaman Barisan Nasional, sejak zaman Tunku Abdul Rahman sudah dibuat sambutan Maal Hijrah, ada perarakan tetapi MCA tak sedar pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berhak menentukan untuk memberi keutamaan kepada program dianjurkannya berbanding persembahan sebuah konsert.

“Kita tidak mempunyai halangan sekiranya penganjur konsert memenuhi peraturan disyaratkan dan memilih tarikh serta masa tidak bertembung dengan sambutan keagamaan juga program Kerajaan Negeri,” katanya.

Sebelum itu, Setiausaha MCA Selangor, Ng Chok Sin dilaporkan berkata, perubahan waktu konsert Chen adalah bukti Islamisasi oleh Kerajaan Negeri.


Pengarang :