Foto FIKRI YUSOF/SelangorKini
BERITA UTAMA

Isu Lynas: Bukan keputusan ideal, tetapi lebih baik

SHAH ALAM, 3 OGOS: Keputusan Kabinet melanjutkan permit operasi Lynas Corp dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir bumi selama enam bulan lagi disifatkan bukan keputusan paling ideal, kata Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata, sekurang-kurangnya keputusan dicapai Kabinet lebih baik berbanding situasi dihadapi buat masa ini.

“Isu persekitaran dan keselamatan rakyat adalah penting dan Kabinet mengambil perhatian perkara berkenaan tetapi beberapa orang ada pandangan berbeza, justeru keputusan sudah dicapai.

“Keputusan yang dicapai ini bukan paling ideal untuk saya tetapi apa yang ada sekarang lebih baik daripada status quo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Minggu Sains Negara 2019, di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bakri itu diminta mengulas sama ada Lynas dibenarkan untuk menyimpan sisa ‘Water Leached Purification’ (WLP) di Malaysia atau tidak.

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan bahawa Kabinet sudah mencapai keputusan untuk menggugurkan syarat bagi Lynas Corp memindahkan sisa pemprosesan nadir buminya keluar dari Malaysia.

Akhir tahun lalu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat untuk memperbaharui lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar keluar sisa bahan radioaktif dari negara ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, keputusan bersama anggota Kabinet untuk menyambung permit Lynas Corp akan diumumkan secara terperinci selewat-lewatnya 15 Ogos ini dalam satu kenyataan media dikeluarkan pihaknya.

Katanya, apa yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian daripada perkara yang dibincangkan oleh pihaknya juga.

“Ulasan kementerian dan pandangan peribadi saya sudah bentang pada Kabinet dan anggota jemaah menteri lain pun turut melontarkan pandangan mereka.

“Oleh itu, keputusan Kabinet dicapai melalui majoriti tetapi daripada segi undang-undang, Lynas hanya boleh membuat pembaharuan lesen 30 hari sebelum tamat lesen 2 September, iaitu 2 Ogos (semalam),” katanya.


Pengarang :