AGENDANASIONAL

Usah keruhkan keadaan isu pasang bendera terbalik

JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Orang ramai diingatkan supaya menjaga sensitiviti dengan tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai diminta menggunakan pendekatan berhemah dalam menegur atau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Pada saya negara kita mempunyai undang-undang. Setiap kesalahan yang dilakukan secara sengaja, kita mempunyai peruntukan undang-undang tersendiri.

“Cara kita menegur mereka ini biar berhemah supaya kesalahan yang tidak disengajakan itu kita boleh maafkan, tetapi kalau disengajakan, kita ada peruntukan dan biar pihak berkuasa melakukan siasatan, jangan kita mengeruhkan lagi keadaan yang akan mengundang perpecahan, rusuhan dan suasana tidak selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 peringkat negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Mydin Mutiara Rini, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa insiden bendera Malaysia dipasang terbalik di beberapa premis di seluruh negara yang tular sejak akhir-akhir ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid.

Dzulkefly berkata, sehubungan itu, laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu dilakukan orang ramai dari semasa ke semasa supaya mereka yang terlibat dapat disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang bersesuaian.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik seolah-olah satu penghinaan kepada negara dan tindakan segera perlu diambil.

“Dahulu, perajurit kita sanggup mati dalam menjaga negara, tidak akan membiarkan bendera jatuh. Perbuatan memasang bendera terbalik ini bukan sahaja tidak menghormati negara malah ia juga adalah penghinaan kepada askar dan polis kita yang bergadai nyawa satu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengibarkan Jalur Gemilang peringkat Wisma Persekutuan hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Azahar Ismail.

– BERNAMA


Pengarang :