Mardhiah (kanan) dan suami Omar Aman, 37, (kiri) serta anak mereka (dari dua, kiri) Ibrah Jamilah, 8, Kaisah Latiifah, 10, Fatini Ghurrah, 4, Muhammad Najib, 11 dan Muhammad Hasif, 6, memperagakan pakaian yang dijahit menggunakan corak Jalur Gemilang. Foto BERNAMA
PERSONALITIRENCANA

Jahit pakaian Jalur Gemilang jadi rutin wajib

MELAKA, 20 OGOS: Bermula dengan sekadar ingin mencuba dan menguji kreativiti diri sendiri menjahit pakaian menggunakan Jalur Gemilang lapan tahun lalu, aktiviti itu kini menjadi rutin wajib bagi seorang tukang jahit, Mardhiah Nasir, terutama ketika menjelang sambutan kemerdekaan.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, idea menjahit pakaian Jalur Gemilang tercetus ketika menjahit pakaian berkenaan untuk anaknya dan berasa bangga apabila ia diperagakan sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Pada mulanya, saya menjahit pakaian Jalur Gemilang hanya untuk tiga orang dan mereka kelihatan sangat comel ketika memperagakannya.

“Tambahan pula, minat saya mendapat sokongan daripada suami, mak dan ayah. Jadi bermula sejak itu, setiap tahun saya tidak akan menolak tempahan untuk menjahit pakaian Jalur Gemilang.

“Selain dapat meningkatkan rasa cinta kepada Jalur Gemilang dan memupuk semangat patriotik dalam diri anak-anak terutama pada bulan kemerdekaan, pakaian itu juga membuka laluan untuk mereka menyertai pertandingan pakaian yang sering diadakan setiap bulan Ogos,” katanya.

Mardhiah, 32, yang menjahit pakaian Jalur Gemilang di rumahnya di Balik Bukit, Tambak Bugis di sini berkata, kreativiti itu juga kini menjadi salah satu sumber pendapatannya kerana beliau akan menerima sekurang-kurangnya 10 tempahan pakaian Jalur Gemilang menjelang bulan Ogos.

Katanya, untuk menjahit ‘dress’ kanak-kanak, sekurang-kurangnya enam hingga 12 Jalur Gemilang bersaiz 0.6 meter x 1.2 meter diperlukan, manakala untuk pakaian dewasa sekurang-kurangnya empat Jalur Gemilang bersaiz 0.9 meter x 1.8 meter dan harga tempahan adalah antara RM60 dan RM150.

Beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Along berkata, selain menerima tempahan, beliau juga menyewakan pakaian Jalur Gemilang pelbagai saiz lebih 50 helai untuk lelaki dan perempuan termasuk aksesori seperti tudung, tanjak dan topi dengan harga bermula RM60.

Katanya, menjahit pakaian Jalur Gemilang bukan hanya sekadar menggabungkan beberapa bendera, sebaliknya perlu mematuhi sensitiviti kerana ia adalah simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara.

“Pada saya, bila menjahit pakaian menggunakan Jalur Gemilang, kita perlu lebih berhati-hati terutama kedudukan bulan dan bintang. Biasanya saya akan pastikan elemen bulan dan bintang pada Jalur Gemilang akan diletakkan di atas paras pinggang atau di bahagian dada.

“Kain atau seluar juga pada saya ia tidak boleh meleret sehingga mencecah tanah. Prinsip itu kena ada kerana selalu juga nampak orang jahit pakaian Jalur Gemilang semberono sahaja,” katanya mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya, Mariam Aman sejak berusia 10 tahun.

Katanya, bekalan Jalur Gemilang yang dijual di kedai atau pasar raya terutama pada bulan kemerdekaan sering kehabisan kerana mendapat permintaan yang tinggi bagi meraikan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :