BERITA UTAMASELANGOR

Jangan cepat selesa dengan penurunan indeks jenayah Selangor

SHAH ALAM, 27 OGOS: Semua pihak diingatkan tidak cepat merasa selesa dengan penurunan indeks jenayah bagi tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu berikutan jenayah semakin pelbagai termasuk membabitkan penggunaan teknologi tinggi.

“Alhamdullilah, ini menunjukkan usaha berterusan polis mengurangkan jenayah namun begitu ini bukan tanda untuk kita selesa, kita perlu tingkatkan kawal selia kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga bakal mengangkat isu keselamatan sebagai salah satu inisiatif baharu dalam belanjawan yang dibentangkan pada November nanti.

Antara perkara mendapat perhatian Amirudin dalam dialog kali ini termasuk langkah memasang kamera litar tertutup pintar yang mampu membuat pengecaman wajah, menjadikan sebahagian anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan sebagai Polis Bantuan dan memohon tambahan anggota polis kepada Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman bagaimanapun berkata, statistik terbabit tidak menggambarkan keadaan selamat dalam kalangan rakyat.

“Apa yang penting adalah kerjasama semua pihak menjadi mata dan telinga polis, bukan meletakkannya sebagai tanggungjawab polis semata,” katanya.

Sebelum itu, perbandingan indeks jenayah dibentangkan Imran pada program sama menunjukkan sebanyak 11,482 kejadian jenayah direkodkan pada 1 Januari hingga 31 Julai lalu berbanding 12,925 bagi tempoh sama tahun sebelumnya, mencatatkan pengurangan 1,443 kes atau 11.16 peratus.


Pengarang :