AGENDANASIONAL

Jangan kejar jawatan demi kepentingan peribadi-Zuraida

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menggesa mana-mana pemimpin parti supaya tidak mengejar jawatan demi kepentingan peribadi, sebaliknya fokus melaksanakan tugas masing-masing dalam tempoh ditetapkan.

“Saya percaya anggota Pakatan Harapan (PAKATAN) matang dan boleh fikir sama ada mahu utamakan kemajuan negara, individu atau parti.

“Sebolehnya jangan fikir kepentingan individu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Little River Festival 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti berhubung peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya.

Zuraida, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi tempoh secukupnya untuk memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menyerahkan jawatannya.

Katanya, hal itu kerana kerana sebarang peralihan kuasa tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Saya berpendapat untuk kepentingan negara dan bangsa, biarlah beliau (Dr Mahathir) di sana sehingga habis penggal, dan saya menyambut baik serta berdoa Tun Mahathir dipanjangkan umur.

“Perkara itu boleh dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat PAKATAN akan datang, namun ia memerlukan kematangan semua anggota,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :