BERITA UTAMA

Jangan naik Gojek jika rasa tidak selamat – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Pengguna mempunyai pilihan pengangkutan awam lain jika berpendapat perkhidmatan teksi motosikal seperti Gojek tidak selamat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai jenis perkhidmatan pengangkutan awam yang boleh digunakan.

“Kalau rasa tak selamat jangan naik. Kita ada pilihan dan kita tidak paksa kamu guna perkhidmatan motosikal itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkhidmatan teksi motosikal, Gojek yang didakwa mengancam keselamatan terutamanya pelanggan wanita.

Kabinet semalam bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek, dan jemaah menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Menurut Dr Mahathir, peniaga kecil juga boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan Gojek.

Mengenai isu penceramah bebas Dr Zakir Naik, Dr Mahathir yang ditanya sama ada beliau akan berubah fikiran mengenai pengusiran pendakwah Islam itu, berkata: “Buat masa ini, belum ada perubahan.”

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.

Zakir kini sedang disiasat polis berikutan kenyataannya semasa berucap di Kelantan baru-baru ini yang dikatakan berbaur perkauman.

-BERNAMA


Pengarang :