AGENDANASIONAL

Jangan panjangkan isu Zakir – Mujahid

LABUAN, 20 OGOS: Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama tidak boleh memanjangkan politik perkauman yang dicetuskan mana-mana pendakwah termasuk dari luar negara sehingga mewujudkan ketegangan kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yussof berkata, kerajaan sentiasa berusaha menjaga keharmonian kaum di negara ini.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tidak memanjangkan lagi isu Dr Zakir Naik atau mana-mana pendakwah asing yang mencetuskan ketegangan kaum, dan mungkin melibatkan hubungan diplomatik dan keselamatan,” kata beliau selepas sesi dialog awam mengenai ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ dan pelancaran program jangkauan peringkat kementerian di Dewan Darul Kifayah di sini semalam.

Dr Mujahid berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Dr Zakir sebelum pendakwah itu membuat kenyataan kontroversi yang didakwa menjurus kepada politik perkauman dan telah menjelaskan kepada beliau mengenai sensitiviti isu perkauman dan pentingnya memelihara kerharmonian di negara ini.

“Saya telah berjumpa beliau sebelum ini, enam bulan lepas dan telah mengingatkan beliau mengenai perlunya sensitif kepada isu-isu perkauman di sini kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan berbilang agama… kita sebenarnya telah mengambil langkah-langkah proaktif,” kata beliau.

Menjawab pertanyaan daripada seorang peserta mengenai isu Dr Zakir, Dr Mujahid mengingatkan para pendakwah terutama dari negara asing supaya menghormati sepenuhnya sensitiviti isu-isu perkauman dan menghormati budaya yang diamalkan oleh masyarakat berbilang kaum bagi mengelak sebarang konflik perkauman.

– BERNAMA


Pengarang :