AGENDANASIONAL

Jawatankuasa bersama lulus tiga pelaburan RM2.2 bilion

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Kerajaan, melalui jawatankuasa bersama peringkat menteri yang ditubuhkan baru-baru ini, meluluskan tiga pelaburan bernilai RM2.2 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, daripada tiga pelabur itu, dua adalah syarikat tempatan, manakala yang ketiga adalah syarikat antarabangsa.

Bagaimanapun, menteri itu enggan memberikan butiran lanjut mengenai pelaburan tersebut, menyatakan ia tidak adil kepada pelabur berkenaan.

“Saya percaya kita perlu menghormati pelabur, biar mereka mengumumkan (butiran mengenainya) sendiri. Apa yang penting kami telah menubuhkan jawatankuasa bersama peringkat menteri yang dipengerusikan bersama oleh saya dan Datuk Darell Leiking yang membolehkan kami membuat keputusan dengan cepat.

“Sebelum ini, ia mungkin mengambil masa berbulan (untuk mendapat kelulusan), kini kami dapat membuat keputusan melalui mesyuarat bulanan,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi Nasional 2019 di sini, hari ini.

Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini menubuhkan jawatankuasa bersama peringkat menteri untuk mempercepatkan proses membuat keputusan dan memudahkan proses kelulusan di peringkat tertinggi, terutamanya apabila berkaitan pelaburan teknologi tinggi dan bernilai tinggi.

“Jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Darrell dan saya menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menawarkan pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pada separuh pertama 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia meluluskan pelaburan asing untuk semua sektor bernilai RM49.5 bilion — meningkat 97.2 peratus daripada RM25.1 bilion dicatatkan dalam tempoh sama, pada tahun lalu.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tiada keperluan mewujudkan pasukan pengurusan krisis buat masa ini berikutan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) mampu menangani masalah ekonomi semasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan oleh Tan Sri Rafidah Aziz, anggota NEAC, yang menyatakan terdapat keperluan bagi kerajaan menubuhkan pasukan pengurusan krisis untuk mengambil langkah awal bagi menangani dinamik luaran.

“Sudah tentu, jika terdapat krisis, kita akan melakukannya, tetapi buat masa ini kita mempunyai NEAC. Sudah tentu, kami akan mempertimbangkan pandangan tersebut, (tetapi) saya fikir kita juga perlu memahami bahawa ini (ketidaktentuan ekonomi) semuanya luaran.

“Malaysia bukan satu-satunya terjejas, ia turut memberi kesan kepada negara-negara lain. Saya fikir kita tahu apa puncanya. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengurangkan kesannya dan berharap terdapat resolusi mengenai perkara itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :