Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jawatankuasa Keselamatan Wilayah Persekutuan siasat insiden lif jatuh

SHAH ALAM, 3 OGOS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memulakan siasatan kemalangan lif jatuh dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam yang berlaku semalam.

Dalam satu kenyataan, JKKP terbabit memaklumkan siasatan kemalangan itu mula dijalankan malam tadi oleh pegawai penyiasatnya untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemunya untuk memastikan lif berada dalam keadaan selamat bagi digunakan dan diselenggara secara berkala serta mempunyai kontrak selenggaraan dengan firma yang kompeten sekurang-kurangnya 12 bulan.

“Pemunya juga perlu memastikan lif mempunyai sijil perakuan yang sah untuk dikendalikan,” katanya.

JKKP berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutama membabitkan pekerja, orang awam mahupun harta benda.

“Pemunya dan firma yang kompeten boleh didakwa jika terbukti gagal untuk memastikan lif dalam keadaan baik sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, lapan orang mangsa yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas lif secara tiba-tiba bergerak laju dari tingkat lima PPR ke bawah.


Pengarang :