AGENDANASIONAL

Jelajah Dunia Retro Havoc di Thailand promosi TMM2020

BANGKOK, 24 OGOS: Jelajah Dunia Retro Havoc Motorsports kini berada di Thailand untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Bermula di Putrajaya pada 19 Ogos, penjelajahan yang dikemudi Engku Mohammad Hadri Engku Hassan, 34, bersama dua pembantunya, Sh Nur Sharmila Sh Mohamed Sharer, 38, dan Abdul Rahman Halid, 32, yang memandu kereta Toyota AE86 telah menjelajah lebih 2,300 kilometer (km).

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel melepaskan Jelajah Dunia TMM2020 di pejabat kedutaan di Bangkok.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia (Bangkok), Mazreena Mohd Yusof berkata, penjelajah kini dalam perjalanan ke Chiang Rai, utara Thailand.

“Penjelajahan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menjelajah sejauh 25,000 km bagi mempromosikan kempen VM2020 di 24 buah negara yang dilalui,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sepanjang perjalanan, penjelajah akan mempromosikan TMM2020 dan mengedarkan risalah, brosur dan barangan berkaitan TMM2020.

“Mereka akan singgah di negara seperti China, Mongolia, Latvia, Rusia dan Jerman. Jelajah ini dijangka akan memakan masa selama 98 hari sebelum tiba di lokasi terakhir iaitu Amsterdam,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :