Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Jenaka

Sangkar itu, akan sentiasa jadi rujukanku
setelah lama mengepakkan jalan di awan
aku melihat durjana setelah merdeka
dan diriku semacam merasa kedinginan hidup
untuk hidup, sebeku apa pun, menjadi tubuh yang dirantai
adalah perlu.

Rantai itu akan mendodoiku sewaktu
tubuhku melompat-lompat di dalam sangkar
sangkar bukan angkara yang mengerikan
bahkan, satu kejipan waktu yang membuatku tenang.

tenangnya, adalah nafas si dara hutan

namun tenang di dalam sangkar tidak
mengajarku apa-apa. Maka,
dengan jenakaku, aku mula ketawakan diri sendiri
mengusik, dan membongkar keperibadianku
mungkin, jenakaku akan sedikit mengajarku.

ternyata, dengan sedikit baki jenaka itu, aku mampu mengajar diri sendiri
menyedarinya, aku mula mempersoal sangkar yang
dungu dan diam, yang kaku dan sunyi.
entah kenapa aku boleh merasa takut dengannya
entah sejak bila sangkar yang begitu membuatku takut.

ketakutan adalah kegilaan yang curiga

tubuhku melompat-lompat lagi- kini rantai tak dapat mendodoikan
kerana aku belajar daripada jenakaku sendiri
bahawa rantai di dalam sangkar adalah alamat buruk
kerana derap runcingnya selalu membuat tawa senyap dan mulai tidak senang.

yang tak senang tak akan mampu menjadi tenang
yang tak tenang tak akan mampu membuat sangkar menjadi lemah.

Zahid M Naser

 


Pengarang :