AGENDANASIONAL

Jenazah Amirul Ashraff dibawa pulang minggu depan

PUTRAJAYA, 7 OGOS: Jenazah Amirul Ashraff Md Azhar, pelajar Malaysia yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pangsapuri yang didiaminya di Sydney, Australia, semalam dijangka dibawa pulang minggu depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia sedang berusaha memastikan jenazah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universti Technology Of Sydney itu dapat dibawa pulang segera.

Beliau berkata, urusan itu dijangka dapat dimuktamadkan selepas proses bedah siasat dan siasatan ke atas pelajar tajaan Mara yang sedang dilakukan pihak berkuasa negara terbabit selesai.

“Pegawai kita di sana sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara termasuk urusan dokumentasi yang memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

“Tetapi menurut pegawai terbabit, jenazah dijangka dapat dibawa pulang ke Malaysia minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan 70 pelajar cemerlang di bawah program Budi Mara dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam kejadian itu, Amirul Ashraff, 22, dari Taiping, Perak dikatakan tergelincir dari aras 23 pangsapuri didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti berkenaan.

Rina berkata, waris Amirul Ashraff juga sudah dimaklumkan berhubung perkara terbabit dan menyerahkan kepada Mara untuk menguruskan kepulangan jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu.

Pada masa sama, Rina berkata beliau difahamkan rayuan Amirul Ashraff untuk mengambil semula peperiksaan lima mata pelajaran yang gagal diluluskan Mara.

“Memang beliau ada hantar rayuan, Mara proses dan kita sudah luluskan untuk dia menyambung semula pelajaran,” katanya.

Berhubung Program Budi Mara, katanya, kementerian memperuntukkan RM1.65 juta tahun ini bagi membantu 1,500 pelajar MRSM dalam kalangan keluarga berpendapatan B40.

Katanya, 70 pelajar cemerlang yang diraikan hari ini adalah bukti kejayaan program Budi Mara selepas memperoleh Purata Nilai Gred 3.70 dan ke atas dalam peperiksaan semester akhir lalu.

-BERNAMA


Pengarang :