BERITA UTAMA

Jerebu: Bomba ambil langkah siap sedia

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi tumpuan pada rondaan udara di kawasan hotspot berlakunya kebakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu semakin buruk.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya akan memberi perhatian lebih kepada kawasan paling sensitif iaitu Sepang dan Banting, Selangor serta pemantauan di beberapa negeri seperti Pahang, Perak dan Johor.

“Setakat ini kita mula mengambil langkah berjaga-jaga kepada semua anggota seluruh negara kerana tidak mahu berlaku kebakaran dalam negara terutamanya kawasan titik panas. Kita akan buat rondaan melalui udara untuk memerhati kawasan tertentu dan kawasan yang sering berlaku kebakaran terbuka.

“Untuk kawasan Sepang paling sensitif kerana ia adalah laluan penerbangan dan di situ sering berlaku kebakaran tanah gambut yang menyebabkan asap tebal,” katanya pada sidang media Majlis Apresiasi Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019, di Kompleks Kuaters JBPM di sini hari ini.

Katanya, meskipun keadaan jerebu yang melanda negara disebabkan kebakaran di Sumatera, Indonesia itu masih terkawal, langkah itu perlu dilaksanakan sebagai persediaan awal.

Mohammad Hamdan berkata orang ramai perlu menghadkan aktiviti luar supaya tidak mengalami masalah kesihatan.

“Jerebu ini kita tidak nampak ‘zarah-zarah’ kecil yang masuk ke dalam sistem penafasan kita sehingga boleh menyebabkan berlakunya masalah penafasan seperti asma dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada 28 anggota dan pegawai JBPM yang terlibat mewakili Malaysia ke ‘World Police and Fire Games (WPFG) 2019’ di Chengdu, China pada 8 hingga 18 Ogos ini yang turut diserati oleh 155 negara.

Beliau berkata daripada lima acara sukan yang disertai anggotanya, iaitu golf, badminton, tenpin boling, dart dan ‘bench press’ (angkat berat), pihaknya menyasarkan pingat lima emas. – BERNAMA


Pengarang :