AGENDABERITA UTAMA

Jerebu: Dua kawasan tidak sihat, 65 sederhana

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kualiti udara di Kemaman, Terengganu dan Bandar Indera Mahkota, Pahang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat pada bacaan 104 dan 106.

Data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak 65 stesen mencatatkan bacaan sederhana antara IPU 51 hingga 100 dan satu stesen lagi mencatatkan bacaan baik.

Selain itu, enam stesen di Selangor mencatatkan bacaan sederhana iaitu Kuala Selangor (69), Klang (75), Johan Setia (85), Shah Alam (74), Petaling Jaya (72) dan Banting (78).

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 101 dan 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon, sebelum ini dilaporkan berkata keadaan jerebu yang melanda negara dijangka berterusan susulan kewujudan titik panas membabitkan beberapa daerah di sekitar Indonesia.

Katanya, faktor angin yang bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya membawa jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia, sehingga mencetuskan kemerosotan bacaan IPU di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan jerebu adalah bersifat sementara dan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara secara berterusan.


Pengarang :