Jerebu di Miri berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal yang berlaku sejak semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jerebu: IPU di Sarawak pada tahap sederhana

KUCHING, 16 OGOS: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak secara keseluruhannya berada dalam kategori sederhana, setakat 11 pagi ini.

Stesen Pengawasan Udara Automatik yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatat penurunan bacaan IPU, iaitu dari IPU 92 pada 9 pagi kepada IPU 91 ketika ini yang diklasifikasikan pada tahap sederhana.

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di SK Kuala Baram 2 menunjukkan sedikit peningkatan dan turut berada dalam kategori sederhana iaitu daripada bacaan 63 pada 9 pagi kepada bacaan 64 pada 11 pagi.

Seterusnya, keadaan jerebu di Sri Aman juga berada dalam keadaan sederhana dengan bacaan IPU 60. Bacaan IPU di Sibu, Miri dan Kuching pula kekal pada kategori sederhana dengan masing-masing pada bacaan IPU 59, 59 dan 76.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

-BERNAMA


Pengarang :