AGENSISELANGOR

Jerebu: IPU lima kawasan di tahap sederhana

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 OGOS: Lima kawasan di Selangor masih mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat jam 10 pagi tadi.

Menurut data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Johan Setia yang mencatatkan IPU tidak sihat sepanjang minggu lalu, kini berada di tahap sederhana iaitu 86.

Ia diikuti Klang dengan bacaan IPU pada paras (67), Banting (67), Shah Alam (66) dan Petaling Jaya (64).

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan JAS mengetatkan rondaan serta penguatkuasaan larangan pembakaran terbuka di kawasan Kampung Johan Setia.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, hal itu bagi mengelakkan keadaan jerebu yang lebih buruk berlaku di kawasan terbabit.

Setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak 64 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan sederhana, dua di tahap berbahaya dan satu tidak sihat dan satu baik.

Sementara itu, Stesen pemantauan udara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri masih mencatatkan IPU berbahaya iaitu 352 dan 312.

Manakala, Sri Aman mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 136.

Kawasan Tawau, Sabah satu-satunya mencatatkan IPU baik iaitu 43.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan berbahaya jika melebihi 300.


Pengarang :