AGENDANASIONAL

JKM Kelantan lulus bantuan RM500 kepada keluarga makan kulit ayam

KUALA KRAI, 21 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan bantuan sebanyak RM500 kepada keluarga Muhamad Zuhaidi Safin, 33, yang menjadikan kulit ayam yang diperoleh daripada kantin sebuah sekolah sebagai lauk sejak tiga bulan lepas.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, jabatan itu telah meluluskan permohonan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM200 dan Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM300 sebulan yang akan dinikmati oleh keluarga itu bermula Oktober ini.

“Siasatan segera JKM Kelantan semalam mendapati keluarga berkenaan yang tinggal di Kampung Tengah, Kuala Krai tidak pernah memohon bantuan daripada JKM namun kes ini telah diambil tindakan segera oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Kuala Krai.

“Siasatan turut mendapati keluarga berkenaan tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada agensi lain dan hanya anak sulung pernah dibantu menerusi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Malaysia (KWAPM) setahun sekali iaitu sebanyak RM100,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, Muhamad Zuhaidi bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan manakala isterinya, Siti Hamidah Abdul Aziz, 31, tidak bekerja.

Katanya, pasangan terbabit mempunyai tiga anak perempuan iaitu Siti Aisyah, 8, Nur Sayyidah Nafisah, 6, dan Nur Safiya Nadhira, 3.

“Apa yang kita lihat pendapatan ketua keluarga agak tidak mencukupi dan dua anak yang bersekolah menyebabkan kadang kala perbelanjaan untuk keperluan makan minum dan sewa rumah tidak mencukupi sehingga menyebabkan mereka menjadikan lebihan kulit ayam dari kantin sekolah berhampiran untuk dimasak sebagai lauk sekeluarga,” katanya.

Kehidupan keluarga berkenaan tular di media sosial sejak semalam selepas menjadikan kulit ayam yang diperoleh daripada sebuah kantin sekolah sebagai lauk sejak tiga bulan lepas.

– BERNAMA


Pengarang :