PBTSELANGOR

Jom meriahkan Pesta Morib September ini

BANTING, 2 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bakal menganjurkan Pesta Morib 2019 selama tiga hari di Pantai Morib di sini, mulai 14 hingga 16 September ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pesta bermula dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam turut menyajikan lebih 15 acara menarik berkonsepkan udara, laut, dan darat boleh disertai pelbagai lapisan masyakat yang hadir di pesta terbabit.

Katanya, penganjuran Pesta Morib itu akan merancakkan lagi sektor pelancongan yang terdapat di daerah ini sekali gus memberi peluang kepada pihak majlis dan penduduk beramah mesra.

“Penganjuran Pesta Morib juga memberi peluang meningkatkan ekonomi penduduk setempat melalui peluang perniagaan yang akan diadakan.

“Sebanyak 29 khemah jualan menawarkan pelbagai barangan antaranya seperti makanan, minuman, pakaian dan produk industri kecil sederhana (IKS) yang diharap dapat membantu sedikit sebanyak penduduk di daerah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sambutan Hari Malaysia turut diadakan dengan pelbagai pengisian acara menarik seperti persembahan nyanyian dan kebudayaan manakala keesokan harinya akan dilangsungkan Morib Fun Run 2019.

Mohamad Zain berkata, antara acara yang akan dijalankan adalah seperti gerai jualan pertanian dan IKS, pameran serta jualan hartanah Kuala Langat, soopa doopa, ‘toys fair’, pertandingan beyblade, bola sepak pantai, sukaneka rakyat seperti tarik tali, tuju tin, panjat tiang licin, pukul bantal dan layang-layang.

“Selain itu, turut diadakan pameran motor klasik, persembahan tarian tradisional, kebudayaan, kejohanan paragliding terbuka jugra 2019, pertandingan permainan tradisional seperti congkak, kabadi dan xianggi, pertandingan ragbi 10 sebelah, pertandingan memancing, pertandingan membina istana pasir, pertandingan mewarna, sambutan Hari Malaysia, Morib Fun Run 2019 dan juga pertandingan wau tegak.

“Oleh itu, seluruh masyarakat khususnya penduduk daerah ini dijemput untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan acara ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat mengenai Pesta Morib 2019 boleh menghubungi Unit Korporat Dan Perhubungan Awam di talian 03-3180 3694 dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (03-3180 3140).


Pengarang :