AGENDAGLOBAL

Jom sertai tilawah al-Quran, azan dalam talian Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia mempelawa peserta dari negara ini menyertai Tilawah Al-Quran dan Azan yang akan diadakan secara dalam talian (online).

Kedutaan itu, dalam kenyataan kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa BERNAMA hari ini, menyebut mereka yang berminat boleh mendaftar di http://quranathanawards.com. sehingga 18 Ogos ini.

Menurut kenyataan itu, setakat ini lebih 21,000 peserta dari 162 negara sudah memohon untuk menyertai dua pertandingan berprestij terbabit yang menawarkan hadiah bernilai AS$1.9 juta kepada pemenang.

Dilancarkan awal tahun ini, pertandingan itu bertujuan menonjolkan kepelbagaian budaya dan meningkatkan imej Islam di peringkat antarabangsa.

Pertandingan itu akan dibahagikan kepada beberapa fasa iaitu penerimaan video yang dihantar oleh peserta ke laman sesawang anugerah bermula 22 Mei hingga 18 Ogos dan peserta terpilih akan disenarai pendek mulai 19 Ogos hingga 19 September ini.

Fasa ketiga membabitkan persembahan secara langsung menerusi penstriman dari 20 September hingga 20 Oktober manakala senarai pemenang akan diumum mulai 21 Okt hingga 21 November ini.

Pemenang tilawah al-Quran akan menerima hadiah wang tunai SR5 juta (AS$3 juta) manakala pemenang azan bakal membawa pulang SR2 juta (kira-kira AS$533,000).

-BERNAMA


Pengarang :