ADNSELANGOR

Juwairiya kagum semangat anak muda hayati korban

KUALA SELANGOR, 12 OGOS: Ibadah korban yang menuntut keikhlasan mampu memumuk semangat persaudaraan dalam diri generasi muda dengan berusaha membantu golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau kagum dengan semangat ditonjolkan generasi muda pada program korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau.

“Saya hadir atas jemputan Persatuan Per3 Kuala Selangor dan Kelab Bromania yang menjalankan ibadah korban bersama anak muda.

“Saya sangat kagum dengan pihak persatuan yang dapat mengumpulkan ramai anak muda untuk menghayati ibadah korban serta memupuk semangat persaudaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas menghadiri Program Korban Hari Raya Aidil Adha Anjuran PER3 dan Kelab Bromania di Jeram di sini, hari ini.

Program yang dihadiri kira-kira 200 ahli persatuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad.

Juwairiya berkata, program itu turut menanam semangat perpaduan dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Selain di Jeram, Juwairiya turut menghadiri program korban di Surau Abdul Wahid di Bukit Kuching, Surau Hj Yusof di Sungai Buloh, Jeram dan Surau Al Hijrah, Tanjong Siam.


Pengarang :