AGENDANASIONAL

Kadar jangka pendek kekal stabil susulan operasi BNM

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kadar antara bank jangka pendek kekal stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Lebihan dalam sistem konvensional merosot kepada RM17.00 bilion daripada RM24.61 bilion pagi ini, manakala dalam sistem Islam, ia meningkat kepada RM15.70 bilion daripada RM14.61 bilion.

Terdahulu, BNM mengeluarkan dua tender pasaran wang konvensional, satu tender Qard dan Bil Antara Bank Islam Bank Negara (BNIBI).

Sementara itu, BNM menyemak semula tender semalaman Murabahah daripada RM11.7 bilion kepada RM14.7 bilion.

Pada 4 petang, bank pusat menjalankan tender pasaran wang konvensional RM17 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM14.7 bilion, kedua-duanya untuk wang satu hari.

Purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 2.96 peratus, manakala kadar satu, dua, dan tiga minggu, masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus. – BERNAMA


Pengarang :