AGENDANASIONAL

Kadar penyusuan susu ibu meningkat 60 peratus

PETALING JAYA, 4 OGOS: Kesedaran mengenai amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu di negara ini semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, berdasarkan data tahunan yang diperoleh Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara, kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif iaitu enam bulan pertama kelahiran bayi menunjukkan peningkatan daripada 14.5 peratus pada 2009 kepada 60 peratus pada tahun lepas.

“Peningkatan dan kesedaran ibu mengenai penyusuan ini sangat memberangsangkan yang mana ia menyaksikan peningkatan sebanyak 45.5 peratus dalam tempoh hampir 10 tahun.

“Ia (peningkatan) adalah hasil daripada program intervensi yang dilaksanakan kerajaan dan usaha advokasi daripada pelbagai organisasi,” katanya selepas merasmikan program ‘Gift of Love’ anjuran The Breastfeeding Advocates Network (TBAN) bersama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Program yang diadakan sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2019 yang disambut bermula 1 hingga 7 Ogos itu dihadiri lebih 130 ibu bersama anak masing-masing.

Hannah berkata, sokongan semua pihak terutamanya keluarga dan majikan adalah penting bagi memastikan ibu dapat menyusu anak secara berterusan untuk meningkatkan imunisasi badan seseorang bayi.

“Kalau di tempat kerja, ibu memerlukan fasiliti seperti bilik penyusuan dan cold storage untuk menyimpan stok susu mereka.

“Kita harap negeri lain akan mencontohi Melaka yang mana semua 19 agensi kerajaan di negeri itu menyediakan feeding rooms untuk kemudahan ibu,” katanya.

Mengenai cadangan cuti paterniti kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta, Hannah berkata usaha dan perbincangan sedang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia bersama majikan bagi mempertimbangkan cadangan itu.

“Cuti paterniti untuk bapa memang penting sebab minggu awal pertama kelahiran bayi, golongan ibu sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami untuk menguruskan diri dan anak mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :