AGENDA NASIONAL

Kajian IARC: Tiada perhubungan Akrilonitril dengan kanser

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Kajian oleh International Agency For Research On Cancer (IARC) terhadap kes-kes kanser sejak 1970 hingga kini mendapati tiada “satu pun perhubungan” yang boleh mengaitkan gas akrilonitril menyebabkan kanser.

Ini sekali gus menolak kebimbangan orang ramai bahawa gas akrilonitril yang dikesan semasa kes pencemaran Pasir Gudang baru-baru ini boleh mengundang kanser.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, risiko sama ada terdapat kanser atau kesan jangka panjang kepada kesihatan adalah sangat berkait rapat dengan tahap pendedahan gas tersebut .

Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar bahawa tahap pendedahan yang dialami oleh mangsa-mangsa pencemaran baru-baru adalah bersifat tidak tinggi dan “kadang-kadang” sahaja.

“Pendedahan itu sangat sedikit, risiko mendapat kesan jangka panjang amat rendah kepada kesihatan,” katanya dalam Sesi Townhall Isu-isu Semasa Pasir Gudang yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Beliau berkata, satu lagi gas iaitu akrolein yang turut dikesan dalam insiden itu pula dikategorikan sebagai “unclassified” untuk kanser.

Shaharom berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang bapa yang membangkitkan soal kebimbangan penduduk Pasir Gudang mengenai risiko kanser akibat pendedahan terhadap gas itu baru-baru ini.

– BERNAMA


Pengarang :