Sebahagian daripada staf Utusan Melayu yang berpiket di Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2019.
AGENDANASIONAL

Kakitangan Utusan lega, masih ada tempat mencari rezeki

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: “Alhamdulillah, masih ada tempat menumpang rezeki,” demikian luahan antara kira-kira 800 pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Bhd selepas pihak pengurusan mengumumkan tidak akan menutup operasi syarikat penerbitan akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia yang berusia 80 tahun itu.

Biarpun tidak diberi jaminan bila tarikh pembayaran tunggakan gaji, rata-rata mereka tetap meluahkan rasa lega dan menyifatkan berita itu memberi sedikit harapan untuk mereka meneruskan kehidupan.

Seorang kakitangan, Haniza Hassan, 34, berkata beliau gembira dengan perkembangan terbaharu itu walaupun mereka masih bergelut dengan masalah gaji.

“Utusan tak tutup, Alhamdulillah… lega tu taklah banyak sangat sebab kami masih bergelut dengan masalah gaji, tapi saya gembira masih ada tempat kami cari rezeki… masih diberi peluang untuk menumpang rezeki dekat sini,” katanya kepada Bernama selepas Taklimat Khas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berhubung desas-desus penutupan syarikat.

Dalam taklimat itu, Abdul Aziz mengumumkan syarikat itu tidak akan menutup operasinya dan mengambil langkah untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah bermula Jumaat ini sebagai tambahan pulangan syarikat. Akhbar Utusan Malaysia ketika ini berharga RM1.50 manakala Kosmo berharga RM1.

Semalam, tersebar desas-desus bahawa syarikat akhbar berbahasa Melayu yang ditubuhkan pada 1939 dengan penerbitan pertamanya dalam Jawi itu akan menghentikan operasi pada Rabu ini.

Taufik Salimin

Taufik Salimin, 30, pula berkata beliau gembira namun perasaannya bercampur-baur kerana keyakinan terhadap masa hadapan Utusan dan kakitangannya bagaikan tiada jaminan.

“Sebagai kakitangan, saya hanya mengharapkan pengurusan tertinggi dapat menyelesaikan masalah gaji dengan kadar segera kerana pembayaran gaji separuh yang tidak menentu ini sebenarnya tidak membantu kerana kami perlu membayar komitmen yang tertunggak seperti kereta, rumah dan sebagainya,” katanya.

Berkongsi perasaan sama, seorang lagi kakitangan Aqmar Alladad, 35, berkata biarpun berada dalam situasi getir beliau tetap bersyukur kerana masih dapat terus bekerja dan bertekad untuk berjuang bersama-sama untuk mengekalkan penerbitan akhbar di bawah Utusan Melayu itu.

Mengenai kenaikan harga 50 sen bagi akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo, kebanyakan kakitangan berpendapat ia keputusan pihak pengurusan yang harus diterima sebagai antara langkah untuk menampung kos operasi.

“Jika itu (kenaikan harga akhbar) salah satu cara yang boleh membantu dalam menjana semula kewangan syarikat, kami harus menyokong usaha yang dilakukan pihak atasan dan berharap masyarakat membantu kami dengan membeli dan melanggan akhbar di bawah syarikat Utusan Melayu,” kata Nuzulsham Shamsudin, 37 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :