Perairan Mersing adalah lokasi dua rakyat Singapura dilaporkan hilang pada 8 Ogos lalu. Foto facebook/Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

Kayak dipercayai milik rakyat Singapura hilang di Mersing ditemui

JOHOR BAHRU, 13 OGOS: Sebuah kayak dipercayai milik dua rakyat Singapura yang dilaporkan hilang di perairan Mersing sejak Khamis lepas, ditemukan oleh nelayan tempatan di perairan Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata kayak berwarna hijau itu ditemukan pada kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

“Lokasi penemuan kayak itu berjarak sekitar 80 batu nautika dari lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilaporkan hilang pada enam hari lepas.

“Turut ditemui bersama-sama kayak ialah barang-barang peribadi dipercayai milik mangsa iaitu dua beg duit berisi wang tunai Malaysia dan Singapura, sebuah telefon bimbit, satu pasport Singapura, sebuah beg pakaian, satu kad pengenalan diri dan satu pendayung.

“Semua barangan kemudian telah diserahkan kepada pihak Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa akan diatur semula selepas ini, bersesuaian dengan data yang diperoleh.

Tan Eng Soon, 62, yang dipercayai memakai jaket keselamatan berwarna biru merah dan Puah Geok Tin, 57, memakai jaket berwarna oren biru, dilaporkan hilang setelah terpisah daripada 13 rakan mereka ketika berkayak di perairan Mersing.

Mereka terpisah berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika itu.

-BERNAMA


Pengarang :