Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim melepaskan peserta yang menyertai Kayuhan Santai Shah Alam 2019 sempena sambutan Hari Kemerdekaan, di Dataran Kemerdekaan. Foto ASRI SAPFIE/SelangorKini
PBTSELANGOR

Kayuhan Santai Shah Alam 2019 hidup semangat patriotik

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 300 peminat sukan basikal menyertai Kayuhan Santai Shah Alam 2019 sempena sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

Kayuhan anjuran MBSA dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hikers Climbers dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling itu bermula dari Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, membabitkan kayuhan sejauh 17 kilometer (km).

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, melalui acara itu peserta akan menyerahkan kira-kira 1,000 bendera Jalur Gemilang di empat perhentian ditetapkan antaranya sekolah, premis dan kawasan kediaman.

“Kita sudah mula menggerakkan semangat patriotik bermula hari ini sehingga sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Peserta akan menyerahkan bendera serta memberikan kata-kata semangat kepada penduduk Shah Alam untuk menggalakkan mereka bersama-sama warga kerja MBSA memperingati Hari Kemerdekaan.

“Dengan adanya semangat begini, seluruh bandar Shah Alam akan disemarakkan dengan rasa patriotik dan paling penting semangat cintakan negara,” katanya ketika ditemui pada acara pelepasan kayuhan berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Pada masa sama, Haris berkata, pihaknya akan cuba memperbanyakkan program bersifat patriotik pada masa hadapan untuk memberi kesedaran kepada orang awam.

“Kita turut menggalakkan pihak swasta mahupun badan bukan kerajaan menganjurkan program seperti ini dan bercadang menjalin lebih banyak kerjasama dengan mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan negara yang mengecap nikmat kemerdekaan dan menghargai kemerdekaan dengan mengisi program seperti ini,” katanya.

Kayuhan Santai yang disertai Kelab Basikal Shah Alam dan komuniti sekitar Shah Alam itu turut menampilkan acara lain antaranya Kayuhan Malam sempena sambutan Earth Hour, Kriterium Shah Alam dan Kayuhan Enduride untuk melahirkan masyarakat sihat dan cergas.


Pengarang :