Selangorkini
Ramli Mohd Tahir (lima, kiri) bersama ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof (tengah) bergambar dengan kakitangan KDEBWM ketika Program Kibar Jalur Gemilang & Kempen Kebersihan sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke 62 oleh KDEBWM di Batu 14 Hulu Langat pada 26 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Perlu tindakan tegas atasi isu sampah haram

ccsb-ads

HULU LANGAT, 26 OGOS: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak berkaitan bagi mengatasi masalah sampah haram di Selangor yang berlaku dalam jumlah besar antara 1,000 hingga 2,000 sehari.

Pengarah Urusan Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, keadaan seperti itu berlaku berikutan kepadatan penduduk dan jumlah kawasan perindustrian tinggi.

“Tindakan mengenakan saman paling maksima kepada pihak bertanggungjawab perlu dilakukan kerana sampah haram di negeri ini terdapat di merata tempat sama ada di kawasan rimbun, tepi sungai, di kawasan ditinggalkan, kadang-kadang di kampung yang datang daripada penduduk sendiri atau syarikat perindustrian.

“Memang susah nak bersihkan kerana mungkin mereka buang sampah waktu malam atau subuh untuk mengelak daripada dikesan, kalau ikut rekod ada berpuluh tempat pembuangan sampah haram tetapi banyak berjaya dikesan dan ditutup tetapi ada yang buka tempat lain pula,” katanya.

Ramli Mohd Tahir. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Kebersihan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Kali ke-62 di Kompleks Penghulu Batu 14 di sini, hari ini.

Ramli berkata, syarikat perindustrian antara pihak yang banyak menghasilkan sampah namun masih banyak antara mereka masih tidak melantik kontraktor untuk melupuskan sisa pepejal di kawasan sepatutnya.

Katanya, antara faktor mendorong tindakan ini disebabkan ingin menjimatkan kos perniagaan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, KDEBWM juga mengesan terdapat kontraktor luar Selangor yang sengaja membuang sampah haram mereka di dalam kawasan pentabdiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini.

“KDEBWM sedia berkerjasama dengan PBT bagi mengatasi isu yang berlarutan sekian lama ini.

“Penguatkuasaan perlu lebih kerap. Kita cuba tangani dengan baik, kalau nampak lori roro, kita akan buat serbuan dengan PBT dan orang ramai juga perlu bekerjasama dengan membuat aduan jika ternampak.

“Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) juga cadangkan kepada kita untuk ambil alih pengurusan sisa pepejal di kawasan kilang Kuala Langat,” katanya.


Pengarang :