AGENSISELANGOR

KDEBWM terima Anugerah Inisiatif Hijau 2019

SHAH ALAM, 1 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) terus menempa nama apabila dipilih menerima Anugerah Inisiatif Hijau 2019 oleh Waste Management Association of Malaysia (WMAM).

Anugerah berkenaan disampaikan pada Malam Gala Tahunan kelima WMAM 2019 di Grand Ballroom, Hotel The Royale Chulan Damansara, malam tadi.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada KDEBWM atas usaha inisiatif hijau yang dijalankan syarikat berkenaan.

“Ini adalah penyertaan julung kali KDEBWM dan berjaya mendapat pengiktirafan oleh WMAM.

“KDEBWM selaku syarikat yang menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor sentiasa menyokong inisiatif hijau yang dijalankan,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, pelbagai inisiatif hijau dijalankan KDEBWM melalui aktiviti kitar semula, iaitu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kempen kesedaran dengan kolaborasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan, penduduk serta penggunaan produk mesra alam.

Katanya, dalam aktiviti kitar semula, KDEBWM bermula sejak Disember 2018 dengan menubuhkan Pusat Pemerolehan Semula Sisa Pepejal dan mampu memproses bahan kitar semula sebanyak 12 tan sehari.

“Manakala melalui aktiviti CSR, KDEBWM menyumbang tong kitar semula serta menyertai program inisiatif hijau bersama Pihak Berkuasa Tempatan, persatuan penduduk dan masyarakat.

“Selain itu, KDEBWM juga mempromosikan produk hijau dengan produk cenderamata syarikat dihasilkan menggunakan bahan mesra alam dan penghapusan penggunaan plastik juga menjadi salah satu agenda utama pihak syarikat dalam meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar,” katanya.

KDEBW adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai Project Management Company atau PMC dan diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam di Selangor secara berperingkat.

Terdahulu, KDEBWM menempa sejarah tersendiri apabila memenangi Anugerah Amalan Baik Asia Fasifik Frost & Sullivan 2019 bagi kategori ‘Smart Waste Company of the Year’.

Anugerah itu diterima KDEBWM buat kali kedua berturut-turut.


Pengarang :