Keadaan jerebu yang melanda negara pada masa ini masih berada pada tahap sederhana dan terkawal.
AGENDANASIONAL

Keadaan jerebu terkawal, orang ramai jangan bimbang

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Orang ramai dinasihatkan jangan terlalu bimbang kerana keadaan jerebu yang melanda negara pada masa ini masih berada pada tahap sederhana dan terkawal, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon.

Beliau berkata keadaan cuaca panas dan kering yang berlaku ketika ini merupakan fenomena biasa yang dialami setiap tahun.

“Risiko jerebu itu ada tetapi sangat terkawal dan ia juga sebenarnya bergantung kepada kerajaan Indonesia, kalau mereka kawal tempat mereka, insya-Allah kita akan okay, kita jangka keadaan tidaklah teruk.

“Bagaimanapun, orang ramai harus sentiasa berwaspada dan mengamalkan minum air yang banyak serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak terdedah kepada masalah kesihatan lain,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, cuaca Monsun Barat Daya pada masa ini akan berakhir pada pertengahan atau hujung September, dan pada kebiasaannya dalam keadaan itu jumlah hujan kurang dan angin bertiup dari arah Barat Daya.

“Monsun Barat Daya memberi kesan kepada kita apabila angin dari arah Barat Daya itu ‘membawa’ asap kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia ke negara ini. Tetapi ia tidaklah terjejas teruk pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya,” kata beliau.

Sementara itu, Jailan berkata berdasarkan jarak ketampakan jerebu pada masa ini, kebanyakan kawasan menunjukkan keadaan baik iaitu melebihi 8 kilometer (km), dan kawasan yang agak sederhana adalah di Kerteh, Terengganu dan Sitiawan, Perak sejauh 4 ke 5km, manakala Lembah Klang antara 7 dan 8km.

Beliau berkata pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa dan sekiranya ia menjadi semakin teruk, pihaknya akan terus memaklumkannya kepada orang ramai.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang MetMalaysia di aplikasi myCuaca dan laman sosial MetMalaysia.

Pada 1 Ogos lepas, dilaporkan pantai barat Semenanjung dan Sarawak mula berdepan masalah jerebu susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.

Kebakaran hutan di Indonesia dikesan di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Dalam pada itu, Jailan menyifatkan penglibatan Malaysia pada Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Brunei pada 5 Ogos lepas menunjukkan keprihatinan negara dalam menangani masalah jerebu.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan empat negara ASEAN – Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand – itu bertujuan memantau dan memperincikan langkah dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan.

-BERNAMA


Pengarang :