Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan kepada anggota parti itu pada majlis perasmian bangunan ibu pejabat KEADILAN Terengganu di Bukit Besar hari ini. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

KEADILAN tidak berpuak-puak

KUALA TERENGGANU, 24 OGOS: Tiada berlaku perpecahan ataupun wujud dua kem dalam KEADILAN, tegas presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung ketidakhadiran timbalan presiden parti, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada beberapa mesyuarat barisan kepimpinan KEADILAN sebelum ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Mohamed Azmin sudah mengemukakan sebab atas kebanyakan ketidakhadirannya, justeru parti tidak perlu mengambil apa-apa tindakan terhadapnya.

“Ada peraturan kalau tidak hadir tiga kali berturut-turut tanpa sebab, (akan) gugur jawatan.

“Kadang-kadang orang ini dia cuba bagi sebab jadi lembaga disiplin parti akan meneliti sebab itu betul atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata apa yang lebih penting adalah program parti berjalan seperti biasa dan pemimpin serta anggota terus setia dan memperjuangkan idealisme perjuangan parti.

-BERNAMA


Pengarang :