PBTSELANGOR

Kebun Komuniti MPKj beri manfaat penduduk setempat

KAJANG, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mempelawa Persatuan Penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyertai program Kebun Komuniti untuk kegunaan bersama penduduk setempat.

Dalam kenyataan, MPKj memaklumkan, program berkonsepkan kebun itu dibuka secara percuma dan terhad kepada dua persatuan serta JMB terawal di kawasan pentadbiran berkenaan.

“Kawasan lapang tidak digunakan dan bukan tanah persendirian dalam kawasan kejiranan dibenarkan menyertai program ini, manakala tanggungjawab serta urusan mengusahakan kebun komuniti dibenarkan melalui Jawatankuasa Penduduk sahaja.

“Tanaman dibenarkan adalah daripada jenis sayur-sayuran, ulam-ulaman, herba, ethnobotanikal dan pokok yang mempunyai ketinggian tidak melebihi tiga meter.

“Hasil tanaman perlu dikongsi bersama penduduk dan tiada urusan jual beli,” katanya.

MPKj turut memaklumkan, pihaknya berhak menarik balik kebenaran mengusahakan Kebun Komuniti pada bila-bila masa tanpa notis jika tidak mematuhi syarat ditetapkan.

Persatuan Penduduk dan JMB yang berjaya dipilih akan menerima peralatan tanaman secara percuma antaranya cangkul, kotak penanam, tanah, baja kompos, tong siram, tangki air dan papan tanda selain biji benih serta khidmat nasihat pakar.


Pengarang :